Sunday, June 19, 2011

♥ SELAMAT HARI ABAH ♥

Selamat Hari Bapa!!

Hari-hari adalah hari bapa bagi saya. Mereka patut diraikan setiap hari, dihargai dan dilayani dengan penuh kasih sayang. Apa present saya bagi kat abah?erm..takde pepe...cuma ucapan sahaja. Kedengarannya seperti saya tidak mengambil berat tentang hari istimewa ini, tetapi itulah saya, itulah konsep yang kami sekeluarga amalkan. Tidak pernah ada keraian untuk sebarang hari-hari istimewa.Mungkin sudah biasa dibesarkan begini, maka tidak pernah terlintas sedikit pun rasa sedih atau kecewa seraya melihat orang lain meraikan hari istimewa mereka di tempat-tempat yang eksekutif.

Emak dan abah banyak memberi saya kekuatan dan banyak mengajar saya tentang hidup. Kesabaran dan kegigihan mereka membesarkan kami 5 beradik takkan saya lupa sampai bila-bila. Emak dan abah tidak pernah memberi saya hadiah yang mahal-mahal tapi cukup kasih sayang dan didikan yang menjadi pegangan saya hari ni. Saya bukanlah dari golongan kaya dan tidak juga miskin, tetapi kesederhanaan menuntut saya erti pengorbanan.

Sehingga sekarang 19 tahun berlalu emak masih menjual kuih untuk menambah pendapatan abah bagi menyara kami sekeluarga.Seawal jam 4 pagi, emak sudah menyekang mata menguli tepung dan membuat kuih untuk dijual. Sedangkan orang lain enak diulit mimpi, emak melawan rasa mengantuk semata-mata untuk membantu abah dalam pengurusan belanja harian keluarga.. Ayah saya sekarang seorang pemandu teksi setelah bersara dari dunia pemandu nya.Dengan duit kuih dan pekerjaan abah sebagai pemandu itulah, saya berjaya sehingga ke menara gading dengan harapan saya mampu mengubah hidup kami sekeluarga. Alhamdulillah saya sudah pun mempunyai pekerjaan tetap sejurus selepas menamatkan pengajian di Universiti Utara Malaysia dua tahun yang lalu.

Masih saya ingat lagi ketika abah masih bekerja sebagai pemandu di suatu ketika dahulu, jam 5 pagi abah sudah keluar bekerja.Setiap kali saya bangun dari tidur, saya tak nampak abah. Dan bila saya masuk tidur, abah masih belum pulang dari kerja. Seharian suntuk abah bekerja sehingga lah abah masuk ICU akibat komplikasi jantung ketika saya menuntut di kolej matrikulasi perlis. Seminggu abah tidak sedarkan diri, terdetik dalam hati sempatkah saya untuk membalas jasa dan pengorbanan besar beliau. Namun kuasa Allah Yang Maha Esa, abah membuka mata dan kembali melihat dunia. Syukur masih ada peluang untuk saya bermanja dengannya.

Namun satu yang saya bangga dan terharu ialah kesetiaan emak bersama abah. Menemani abah ke mana sahaja beliau pergi. Emak seorang yang berjiwa kental, tiada setitik air mata pun yang jatuh di pipinya ketika setiap hari melawat abah di Hospital.Itu semua dilakukan kerana tidak mahu anak-anak beliau rasa sedih. Emak ingin menjadi pembakar semangat kepada kami supaya menjadi kuat dan tabah. Emakla peneman setia abah..sesungguhnya beliaulah bakal penghuni syurga..InsyaAllah.

Pengorbanan abah dan emak yang bersusah payah untuk segala-galanya demi anak-anak mereka teramat saya hargai. Oleh itu tekad saya untuk membalas jasa mereka yang tidak terhingga. Menghabiskan sisa-sisa hidup mereka dengan memberi mereka kebahagiaan dan dengan menghadiahkan kejayaan hidup saya berkat doa dan semangat mereka. Syukur ke hadrat Illahi, segulung ijazah yang saya terima dua tahun lalu merencana lembaran baru dalam hidup kami.

Keluarga adalah segala-galanya buat saya..saya tidak tahu apa akan jadi kalau saya hilang mereka. Belum bersedia rasanya walaupun itu adalah pasti. Maka tidak hairanlah ketika masih menuntut dahulu, saya jarang menghabiskan masa senggang saya dengan rakan-rakan sekolah jika saya pulang bercuti kerana cara hidup saya berbeza. Saya lebih gemar duduk di rumah dan membantu emak membuat kerja rumah dan membuat kuih pada malam harinya. Kerana bagi saya kehilangan kawan boleh di cari, tapi hilang keluarga, gelap dan sepi hidup saya. Saya amat besyukur mempunyai keluarga yang begitu memahami dan menyayangi saya..melindungi saya..membuat hidup saya gembira..dan berasa selamat bila disamping keluarga..

Hidup ini amat indah bila dapat meluangkan masa bersama dan yang paling gembira bila dapat keluar berjalan-jalan dan makan besar bersama keluarga. Keluarga adalah keutamaan saya. Bulan lepas 4 hari saya mengambil EL, kerana abah dimasukkan ke hospital akibat kencing manis selama seminggu. Semuanya saya lakukan untuk abah..untuk emak. Biarla orang nak kata apa, as long as apa yang saya buat itu boleh membahagiakan emak dan abah, saya akan lakukan. Kerana emak dan abah adalah jaminan untuk saya ke nuruljannah…InsyaAllah..

Terima kasih ABAH..Terima Kasih EMAK..Syukur Alhamdulillah..atas segalanya…mendidik , menjaga, mengasihani dan mengajar saya menjadi insan yang berguna…

SELAMAT HARI BAPA, ABAH...SAYA SAYANG ABAH SAMPAI AKHIR HAYAT SAYA.. ♥ ♥ ♥



No comments:

Post a Comment